KANGAR – Seorang nelayan lelaki menghembuskan nafas yang terakhir selepas dipercayai diserang penyakit jantung ketika menangkap ikan di laut berhampiran Sungai Berembang, Kuala Perlis di sini dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikenali sebagai Azman dan berusia awal 40-an.
“Mangsa secara tiba-tiba rebah di dalam bot ketika berada di tengah laut bersama seorang rakannya sebelum tidak sedarkan diri.
“Dua nelayan lain bertindak membawa mangsa ke pelantar nelayan di Kampung Kurong Tengar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) yang berada di pelantar nelayan itu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada pukul 9.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Wari berkata, kes itu masih dalam siasatan lanjut dan setakat ini dikategorikan sebagai mati mengejut.- K! ONLINE










