Negara benua Eropah kuasai Piala Dunia - Utusan Malaysia

Negara benua Eropah kuasai Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN dramatik Croatia ketika menyingkirkan pasukan tuan rumah, Rusia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti menjadikan saingan Piala Dunia 2018 edisi ke-21 dikuasai empat gergasi bola sepak dari benua Eropah.

Croatia berjaya mengiringi tiga pasukan terdahulu iaitu Perancis, Belgium dan England untuk menempah slot ke peringkat separuh akhir sekali gus menyaksikan tiada langsung wakil dari Amerika Selatan selepas penyingkiran lima wakil benua tersebut iaitu Brazil, Argentina, Colombia, Uruguay dan Peru.

Justeru, saingan yang diramalkan sengit pada peringkat separuh akhir kejohanan bola sepak berprestij dunia kali ini akan menyaksikan anak-anak buah Didier Deschamps yang berada di ranking No. 7 dunia akan menentang Belgium (No. 3 dunia) kendalian Roberto Martinez di Stadium Saint Petersburg awal pagi Rabu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sudah tentunya skuad Les Bleus mahu mengulangi pencapaian hebat menjulang Piala Dunia pada tahun 1998, manakala skuad The Red Devils yang diwakili generasi emasnya sedia melakar sejarah bagi edisi ke-21 ini.

Sementara itu, skuad The Three Lions bimbingan Gareth Southgate yang berkedudukan No. 12 dunia dijadualkan menentang pasukan No. 20, Croatia dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Luzhniki, Moscow awal pagi Khamis.

Hasrat England untuk bergelar juara dunia kali ini semakin hampir sejak kali terakhir melakukannya pada 1966, manakala Croatia tentunya mahu merakamkan kejayaan lebih tinggi daripada tempat ketiga yang dicapai pada tahun 1998.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×