KOTA BHARU 28 Julai – Dakwaan pihak tertentu kononnya Mara akan dibubar atau dipecah-pecahkan sebelum diserap ke dalam pelbagai kementerian merupakan spekulasi semata-mata bagi menimbulkan keresahan rakyat khususnya orang Melayu.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, khabar angin tersebut kini tersebar dalam media sosial sedangkan setakat ini, Kabinet belum pernah membincangkan status Mara.
Bagaimanapun katanya, jika suatu hari perkara itu benar-benar berlaku, beliau yakin kerajaan pasti ada alasan munasabah membuat keputusan tersebut.
“Kerajaan tidak buat keputusan apa-apa lagi, ini hanya spekulasi yang berlegar di media sosial. Kita tunggu keputusan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan pucuk pimpinan di mana kedudukan sebenar Mara.
“Jangan dengar sebelah pihak sahaja, kita tunggu keputusan Tun Dr. Mahathir dan jika benar-benar berlaku, kita tengok apa rasionalnya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam majlis kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwan Ekonomi anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ketereh di Perol, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Sazmi Miah.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter beliau mendakwa Mara umpama ghanimah (rampasan perang) yang akan dipecah-pecahkan dan dibahagikan kepada beberapa kementerian.
Beliau mendakwa Mara akan ‘dibahagi-bahagikan’ kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. – UTUSAN ONLINE










