Naim Daniel tolak 10 tawaran berlakon demi nyanyian - Utusan Malaysia

Naim Daniel tolak 10 tawaran berlakon demi nyanyian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, 21, langsung tidak berasa ralat meskipun terpaksa menolak kira-kira 10 tawaran berlakon yang ditawarkan oleh rumah produksi.

Pun begitu akuinya, pada peringkat awal Naim berada dalam dilema kerana keputusan tersebut mungkin mengecewakan ramai pengarah dan produser, namun dia kekal dengan pendiriannya.

Menurutnya lagi, bidang nyanyian menjadi keutamaannya buat masa sekarang dan ternyata, percubaan pertama menerusi single Sekali Lagi mendapat maklum balas positif pendengar.

“Saya dah berada dalam industri ini selama 12 tahun. Lakonan adalah karier pertama saya dan tak semudah itu untuk dilepaskan.

“Sebagai anak seni, saya perlu lalui dan tempuhi pengorbanan sebegini untuk mengorak langkah lebih jauh.

“Ini adalah sebahagian asam garam bergelar artis, memilih apa yang perlu pada masa yang tepat,” katanya menyuarakan pendapat.

Tambah pelakon filem Bisik Pada Langit itu, dia mahu memperlahankan rentak dalam bidang lakonan untuk fokus terhadap dunia nyanyian yang diminatinya sekian lama.

Terkini, remaja yang mula dikenali menerusi siri Anak Buloh Betong itu sedang sibuk mempromosikan single keduanya berjudul Sempurna yang akan dilancarkan Ogos ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila debut Sekali Lagi mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN