MTEM gesa kerajaan beri tumpuan golongan B40
catat keyakinan ekonomi terendah - Utusan Malaysia

MTEM gesa kerajaan beri tumpuan golongan B40
catat keyakinan ekonomi terendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Julai – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta kerajaan memberi penekanan kepada kumpulan isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang mencatatkan keyakinan ekonomi terendah iaitu 35.5 peratus berbanding 44.3 peratus bagi isi rumah dengan pendapatan lebih RM7,000 sebulan. Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, sebahagian besarnya kumpulan isi rumah itu adalah bumiputera dan tumpuan perlu diberikan bagi meningkatkan keyakinan mereka.

Katanya, Skor Keyakinan Ekonomi MTEM (MECS) berpotensi untuk jatuh mendadak bagi suku-suku akan datang sekiranya janji-janji Pakatan Harapan sewaktu pilihan raya lalu tidak dikotakan termasuk faktor pengurangan kuasa pembeli, kejatuhan nilai ringgit dan indeks harga pengguna.

Jelas beliau, kerajaan wajar mengambil langkah pantas untuk merapatkan jurang ekonomi yang semakin ketara, antaranya meningkatkan gaji minimum sejajar peningkatan kadar inflasi, meningkatkan nilai bantuan sara hidup dan membantu golongan rendah mengumpul aset seperti hartanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gaji minimum haruslah pada kadar yang sama bagi rakyat Malaysia mahupun pekerja asing bagi menghalang majikan daripada mengambil semakin ramai pekerja asing dengan gaji yang terlalu rendah sementara peningkatan nilai pemberian bantuan sara hidup rakyat dapat membetulkan pengagihan manfaat perkembangan ekonomi yang kebanyakannya dinikmati golongan atasan.

“Pengumpulan aset meliputi hartanah yang cukup banyak oleh golongan berpendapatan rendah akan membantu mereka membuat pelbagai keputusan seperti melanjutkan pelajaran dan memulakan perniagaan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Secara keseluruhannya, MECS untuk suku kedua 2018 meningkat 9.4 mata kepada 39.3 berbanding 29.9 pada suku pertama tahun ini dan meningkat 1.3 mata daripada 28.6 pada suku keempat 2017.

Peningkatan itu berkemungkinan disebabkan faktor perubahan landskap politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kajian secara rawak yang dijalankan MTEM setiap suku tahun itu melibatkan 1,579 responden berumur 21 tahun ke atas dari seluruh negara, mulai 7 Jun hingga 25 Jun.

Ujar Ahmad Yazid, keyakinan rakyat terhadap ekonomi negara dijangka terus meningkat pada suku ketiga tahun ini berdasarkan trend menaik yang ditunjukkan dalam kajian soal selidik oleh MTEM.

“Rakyat menyambut baik kemenangan Pakatan Harapan yang telah menyimpan harapan besar untuk mengotakan semua janji-janji kempen pilihan raya.

“Selain itu, indikator ekonomi yang lebih positif seperti pengekalan harga RON 95 pada kadar RM2.20 seliter dan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 5.37 peratus hingga suku pertama tahun ini juga merupakan antara faktor yang mendorong kepada peningkatan skor ini,” katanya.

MTEM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap status ekonomi negara khususnya bumiputera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN