Mohon SPRM benarkan guna wang dibeku - Utusan Malaysia

Mohon SPRM benarkan guna wang dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK 30 Jun – UMNO telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar sebahagian daripada akaun parti yang dibekukan dapat diguna untuk tujuan pentadbiran dan pembayaran gaji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan itu telah dikemukakan kepada SPRM semalam oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersama barisan peguam yang dilantik.

Menurutnya, tindakan berkenaan harus dilakukan bagi membolehkan perbelanjaan yang telah ditentukan dapat dibayar setiap bulan.

“Kita harap SPRM memberikan pertimbangan sewajarnya kerana tentunya kita mahu supaya gaji, sewaan dan kos-kos pentadbiran lain dapat terus diberikan pertimbangan kerana ia bukan digunakan untuk lain-lain tujuan,” kata Anggota Parlimen Bagan Datuk itu kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.

Semalam, laporan media menyebut SPRM didakwa sudah membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) termasuk akaun milik UMNO.

Sementara itu, di Alor Star, perkara yang sama diluahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya SPRM membenarkan pengeluaran sebahagian wang daripada akaun UMNO negeri untuk tujuan pembayaran gaji.

Menurutnya, tindakan membekukan akaun UMNO pusat dan negeri Kedah yang turut melibatkan akaun di 15 peringkat bahagian negeri menyebabkan parti itu tidak mempunyai sumber kewa­ngan bagi tujuan perbelanjaan.

“Kalau beku, mana kita nak ambil duit untuk bayar gaji bulanan pekerja yang bekerja dengan pejabat UMNO dan bila tiada duit kita terpaksa buang pekerja. Jadi, kita minta supaya SPRM benarkan UMNO untuk keluarkan sebahagian wang yang ada dalam akaun,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, UMNO perlu mencari jalan penyelesaian terutama melibatkan aspek kewangan selepas akaun parti dibekukan.

Bekas menteri besar Perak itu berkata ini kerana, pembekuan akaun tersebut dilihat mampu merencatkan pergerakan parti termasuk untuk mengadakan me­syuarat yang memerlukan wang.

“Saya harap usaha untuk kita gerakkan semula ataupun untuk dapatkan semula perbelanjaan perlu kerana segala-galanya kita letakkan dalam akaun tersebut. Saya lihat anggota UMNO begitu tabah dan bagi saya biarlah proses itu berjalan kerana itu adalah keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Lumut di sini, hari ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN