PULAU PINANG 2 Julai – Lebih 7,000 pengunjung membanjiri Hotel Cititel di sini sejak dua hari lalu sempena Pertunjukan Hobi Miniatur Malaysia (MMHS 2018) yang diadakan buat kali ketiga.
Pengerusi penganjur MMHS 2018, Choo Huang Ming berkata, jumlah tersebut adalah yang paling ramai direkodkan sejak ia diperkenalkan dua tahun lalu.
Malah, untuk edisi kali ini, katanya, sebanyak 38 peserta atau pempamer dari 17 buah negara termasuk Malaysia menyertai program itu untuk melancarkan produk masing-masing selain mengadakan demonstrasi percuma bagi tatapan pengunjung.
“Bagi kategori pertandingan pula, kita menerima 160 penyertaan dengan sekurang-kurangnya 30 model ditonjolkan untuk diadili oleh kira-kira 20 orang juri dari 12 buah negara.
“Selain Malaysia, negara lain yang mengambil bahagian kali ini termasuk Singapura, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat (AS), Sepanyol dan beberapa negara lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ujar Huang Ming, tidak seperti dua edisi sebelumnya, edisi kali ini menampilkan kategori khusus iaitu berkaitan sains fiksyen manakala kategori pertandingan pula hanya melibatkan model automobil ketenteraan.
Kata beliau, selain pameran dan pertandingan berkaitan, turut diadakan sempena MMHS 2018 itu ialah Military Cosplay atau pertunjukan pakaian beragam tentera, Cosplay Junction serta sesi bersama beberapa pelukis model (modeler artist) terkemuka dunia.
Dalam pada itu, Huang Ming berharap MMHS edisi berikutnya akan mendapat tajaan yang lebih besar disebabkan pertambahan peserta pada setiap tahun.
Katanya, hal ini demikian kerana acara tersebut kini dianggap sebagai sebahagian daripada daya tarikan pelancong untuk ke negeri ini.










