KAHERAH 20 Julai – Ahli arkeologi di Mesir baru-baru ini menemukan keranda batu granit hitam besar atau sarkofagus yang tidak disentuh selama lebih 2,000 tahun di sebuah tapak pembinaan di Iskandariah.
Portal berita BBC melaporkan, keranda batu itu mengandungi tiga rangka manusia terendam dalam air kumbahan berwarna coklat yang mengeluarkan bau busuk.
Kementerian Antikuiti Mesir telah mengarahkan anggota jawatankuasa arkeologi untuk membuka dan mengeluarkan keranda yang ditemukan di tapak pembinaan tersebut.
Menurut agensi berita Mesir, El-Watan, pasukan itu pada awalnya membuka sedikit penutup keranda tersebut namun bau busuk yang terlalu kuat memaksa mereka keluar dan kemudian kembali semula selepas mendapatkan bantuan daripada jurutera tentera Mesir.
“Kami dapati ada tiga rangka manusia seperti pengebumian keluarga. Malangnya mumia tersebut tidak berada dalam keadaan baik, hanya tulang,” kata Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri.
Mengulas ketakutan media bahawa usaha memindahkan keranda itu itu boleh mencetuskan sumpahan, Mostafa menjelaskan, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah selepas usaha itu dilakukan.
Namun kawasan tapak pembinaan tersebut terpaksa ditutup sementara kerana sarkofagus berkenaan dikhuatiri dapat membebaskan asap beracun yang berbahaya.
Pakar berkata, tiga individu di dalam keranda itu mungkin adalah tentera pada zaman Firaun kerana keretakan yang dilihat pada tengkorak satu daripadanya menunjukkan kesan kecederaan akibat dipanah.
Patung alabaster juga ditemukan di dalam keranda yang merupakan sarkofagus paling besar yang pernah ditemukan masih utuh.
Keranda seberat 27 tan itu dipercayai dari zaman awal Ptolemaik, yang bermula pada 323 sebelum masihi.








