Misi mengiktiraf Kota Lama Jakarta - Utusan Malaysia

Misi mengiktiraf Kota Lama Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPERANAN sebagai sebuah pusat perdagangan di Asia pada abad ke-17, Kota Tua Jakarta sememangnya layak diiktiraf sebagai salah satu warisan dunia.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Indonesia telah menghantar cadangan agar kota tersebut mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai laluan perdagangan yang digunakan oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).

Cadangan pengiktirafan itu juga termasuk empat buah pulau yang berada di sekitar Kota Tua Jakarta iaitu Pulau Onrust, Cipir, Kelor dan Bidadari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kawasan Kota Tua Jakarta masih belum mendapat pengiktirafan walaupun permohonannya sudah dihantar sejak tiga tahun lalu.

Ada beberapa perkara yang perlu segera dilaksanakan bagi mendapatkan pengiktirafan itu termasuklah mengubah suai bangunan di Kota Tua Jakarta dan memastikan kerja-kerja menambak Teluk Jakarta tidak mengubah landskap asal Pulau Onrust.

Wakil Gabenor Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, Sandiaga Salahuddin Uno telah meminta Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan melakukan pengubahsuaian dan baik pulih segera Kota Tua Jakarta.

“Pada zaman dahulu, Kota Tua Jakarta bukan hanya menjadi pusat perdagangan di Asia Tenggara malah memainkan peranan dalam konteks dunia, maka kami ingin Kota Tua Jakarta segera melalui proses pemulihan.

“Langkah itu bagi memastikan cadangan agar Kota Tua Jakarta dijadikan sebagai warisan budaya dunia oleh UNESCO dapat direalisasikan,” ujarnya.

Sandiaga juga memberikan arahan agar Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan DKI Jakarta untuk membuat perancangan yang terperinci berhubung perkara tersebut.

Selain itu Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan juga telah meminta agar Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan melakukan inventori terhadap pemilik-pemilik bangunan lama agar ia dapat dimajukan semula.

Menurut Ketua Unit Pengurusan Kawasan Kota Lama, Norviadi Setio Husodo, pemulihan bangunan di Kota Tua Jakarta sukar dilaksanakan kerana sebahagian besar premis tidak dimiliki oleh pihak pemerintah DKI Jakarta.

“Kira-kira 50 peratus bangunan dimiliki oleh Badan Usaha Milik Negara (BUMN) atau Perusahaan Perdagangan Indonesia dan 48 peratus lagi dimiliki oleh syarikat swasta atau perseorangan.

Data

“Hanya dua peratus bangunan di kawasan tersebut dimiliki oleh pihak pemerintah DKI,” katanya.

Beliau berkata, proses pemulihan adalah hak pemilik bangunan sepenuhnya dan pihak pemerintah DKI hanya boleh meminta dan menggalakkan mereka untuk melaksanakannya.

Apatah lagi bangunan-bangunan milik peribadi atau individu yang statusnya tidak jelas apabila tiada waris ditemui, sudah dijual atau ditinggalkan terbiar.

“Mendapatkan data pemilik bangunan di bawah nama individu sememangnya sukar. Misalnya, kami tahu pemilik lamanya, namun apabila waris ditemui, mereka memberitahu telah menjualnya dan tidak mengetahui kepada siapa bangunan tersebut dijual,” kata Norviadi.

Mengikut peraturan Gabenor Nombor 36 Tahun 2014 mengenai Pelan Induk Kawasan Kota Tua, kawasan tersebut seluas 334 hektar meliputi Kota Tua Jakarta, kawasan Luar Batang, Sunda Kelapa Pelelangan Ikan sehingga ke Muzium Bahari.

Premis perniagaan

Jelas Norviadi, keadaan fizikal bangunan-bangunan di zon teras kawasan Kota Tua Jakarta iaitu di sekitar Taman Fatahillah adalah cukup baik.

Katanya, banyak bangunan di kawasan berkenaan sudah dijadikan premis perniagaan atau galeri seni manakala bangunan yang teruk dan tidak diketahui pemiliknya kebanyakan berada di belakang Gedung BNI 46.

“Di sana banyak bangunan yang tidak digunakan malah ada atap sudah tercabut,” katanya.

Proses pelaksanaan pemulihan bangunan tersebut menelan kos yang tinggi selain tidak boleh mengubah bentuk asal bangunan tersebut.

Bagaimanapun, jika pemilik bangunan tidak mampu melaksanakannya, pihak pemerintah berharap mereka dapat menjualnya kepada pemerintah daerah agar bangunan lama itu boleh menjadi aset daerah dan dikelolakan dengan baik.

Norviadi juga berharap wujud kerjasama antara BUMN, syarikat swasta dan pemerintah daerah untuk melaksanakan proses pemulihan di kawasan yang penuh sejarah itu.

Selain usaha pemulihan, penambakan Teluk Jakarta sehingga ke Pulau Onrust telah menjadi satu masalah lain bagi mengiktiraf kawasan Kota Tua Jakarta sebagai warisan dunia.

Ketika pasukan penilai UNESCO datang melakukan tinjauan terhadap pulau-pulau di sekitar kawasan berkenaan, mereka telah bertanya mengenai komitmen pihak pemerintah DKI Jakarta terhadap langkah melestarikan Pulau Onrust.

“Mereka bertanyakan komitmen pihak pemerintah DKI Jakarta bagi memastikan Pulau Onrust tidak terjejas dengan kerja penambakan tanah itu,” ujarnya.

Menurut Novriadi, projek penambakan tersebut akan membuka tanah baharu yang jaraknya 800 meter dari garis pantai Pulau Onrust dan boleh menutup laluan perdagangan VOC sehingga terdapat gambaran bahawa aktiviti ketika zaman penjajah tidak lagi wujud.

Selain Pulau Onrust, tiga lagi pulau lain tidak terkesan terhadap penambakan tanah tersebut.

Salah satu penyelesaian agar kawasan Kota Tua Jakarta itu boleh diiktiraf menjadi warisan dunia, Indonesia perlu menghapuskan empat pulau tersebut daripada kertas cadangan, namun fungsinya bukan lagi sebagai laluan perdagangan VOC.

“Boleh sahaja fungsinya digantikan sebagai gudang menyimpan barangan seperti rempah ratus tetapi hal tersebut memerlukan kajian,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Warisan dan Diplomasi Budaya, Nadjamudin Ramly berkata, pihaknya telah meminta pemimpin Jakarta menyatakan komitmen mereka bagi memastikan pulau-pulau yang dicadangkan sebagai warisan dunia itu tidak terjejas dengan kerja-kerja penambakan tanah.

Pertemuan

“Sekiranya pihak pemerintah DKI Jakarta boleh menyatakan komitmen mereka, maka cadangan tersebut tidak perlu diubah kerana kami akan menjelaskan kepada pihak UNESCO bahawa pulau-pulau tersebut tidak terkesan dengan kegiatan penambakan tanah itu,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat kesulitan dalam pelaksanaannya, empat pulau tersebut akan dikeluarkan daripada cadangan berkenaan.

Nadjamudin menjelaskan, Indonesia akan terus berusaha agar kawasan Kota Tua Jakarta dapat menjadi warisan dunia.

“Kami perlu melakukan pertemuan semula dengan pihak-pihak berkaitan untuk berbincang mengenai komitmen mereka dalam menjadikan Kota Tua Jakarta sebagai warisan dunia,” jelasnya.

Indonesia mahu kota yang menjadi laluan perdagangan Syarikat Hindia Timur Belanda pada abad ke-17 dinobatkan sebagai warisan dunia oleh UNESCO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN