MELAKA – Sebanyak RM18 juta bayaran balik pinjaman pendidikan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) masih tertunggak sehingga hari ini.
Pengarahnya, Azrin Abdul Majid berkata, sejak 2000, TAPEM menyalurkan bantuan dan biasiswa persekolahan, dermasiswa serta pinjaman berjumlah RM200 juta.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa kaedah bagi memudahkan peminjam membayar balik baki pinjaman termasuk menerima cadangan daripada bekas pelajar yang sudah mendapat pekerjaan.
“Kita juga dalam proses awal mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam yang masih liat untuk membayar balik pinjaman walaupun telah lama menamatkan pengajian,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Persatuan Ibu bapa Mahasiswa Mesir Melaka di sini hari ini.
Azrin berkata, antara masalah dihadapi pihaknya dalam membuat tuntutan bayaran balik pinjaman kerana tidak mendapat kerjasama daripada peminjam, selain gagal mengesan tempat tinggal terbaharu peminjam. – Bernama











