MDB pantau tiga pantai peranginan - Utusan Malaysia

MDB pantau tiga pantai peranginan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 2 Julai – Majlis Daerah Bachok (MDB) sentiasa memantau keadaan persekitaran Pantai Irama, Pantai Kemayang dan Pantai Senok, dekat sini, dalam usa­ha memastikan pusat peranginan yang dikunjungi ramai itu selamat daripada sebarang bahaya.

Yang Dipertua MDB, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan gotong-royong membersihkan per­­­sekitaran lokasi kunjungan ramai termasuk memastikan dahan pokok tidak tidak membahayakan pengunjung.

Menurutnya, sepanjang bulan lepas sebanyak dua kali gotong-royong dilaksanakan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kali terakhir kami buat gotong-royong dua hari sebelum Aidilfitri termasuk kerja mengecat dan membersihkan sampah di sekitar kawasan Pantai Irama dengan meli­batkan 250 orang termasuk kakitangan JPS, MDB dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Malangnya tragedi batang dan dahan patah tetap berlaku akibat angin kencang dan ribut sehingga menyebabkan dua pengunjung warga Myanmar meninggal dunia baru-baru ini.

“Dari aspek keselamatan kami sudah mengeluarkan arahan untuk periksa dan tanda pokok reput, condong dan berisiko untuk tumbang atau patah bagi tindakan segera,” katanya ketika dimeninjau persekitaran Pantai Irama, dekat sini, baru-baru ini.

Nik Mohamed Noor berkata, pungunjung pusat peranginan perlu mencari kawasan perlindungan yang selamat sekiranya berlaku angin kencang atau ribut pada waktu senja bagi mengelakkan risiko yang membawa musibah kecederaan atau maut.

Katanya, menjadi kelaziman pokok kayu dan dahan besar boleh patah dipulas angin kencang sebagaimana yang berlaku baru-baru ini.

“Setiap hari cuti umum dianggarkan lebih 3,000 pengunjung datang ke Pantai Irama dan jumlah itu adalah tiga kali ganda berban­ding hari biasa.

“Saya nasihatkan pengunjung yang bawa makanan wajib membuang sampah di tempat yang te­lah disediakan.

“Kita sudah sediakan papan tanda besar sebagai peringatan untuk orang ramai menjaga persekitaran, sama-sama jaga kebersihan dan keselamatan ketika di pantai. Kalau yang hendak mandipun mereka kena hati- hati kerana di pantai ada paloh dasar laut yang boleh me­ngundang risiko lemas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN