SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan mencadangkan beberapa nama kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk dipilih sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis minggu depan.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, Isnin lalu.
Amirudin yang juga Setiausaha PKR Selangor mengakui mempunyai beberapa nama yang sesuai diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
“Sebagai Menteri Besar, saya ada kelebihan untuk mencadangkan beberapa nama yang boleh diangkat menjadi calon parti pada PRK Sungai Kandis dan akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan PKR kerana secara prinsipnya Sungai Kandis adalah kerusi PKR. Saya akan menerima siapa sahaja (calon Sungai Kandis) yang diputuskan oleh mereka (pucuk pimpinan),” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandun, Nota Persefahaman dan Kenyataan Bersama antara Yayasan Raja Muda Selangor bersama empat institusi kemahiran di sini hari ini.
Isnin lalu, Mat Shuhaimi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma pada pukul 11.10 pagi.
Beliau yang merupakan Ketua Penerangan PKR Selangor meninggalkan dua orang balu, Jamilah Sahak, 44 dan Rohani Satar, 42, bersama enam orang anak.
Mat Shuhaimi menjadi ADUN Sri Muda selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, beliau menang kerusi sama yang bertukar nama kepada DUN Sungai Kandis menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 12,480 undi. – K! ONLINE










