Maybank jenama bernilai - Utusan Malaysia

Maybank jenama bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengekalkan kedudukan sebagai jenama bank paling bernilai negara dengan pertumbuhan 24 peratus tahun ke tahun kepada AS$3.16 bilion (RM12.84 bilion).

Menurut laporan terkini Brand Finance, nilai jenama itu mening­kat daripada AS$2.54 bilion (RM10.32 bilion) pada 2017.

Maybank dalam ke­nyataan berkata, institusi itu turut mengekalkan penarafaan AAA dan kedudukan sebagai jenama bank paling kukuh di Malaysia untuk tahun keempat.

Laporan itu menyaksikan Maybank kekal menjadi antara jenama terkemuka di ASEAN, menduduki tempat kelima dan naik ke tempat 83 daripada 90 sebagai jenama bank paling berharga dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias menyifatkan pencapaian itu sebagai usaha kolektif kakitangan kumpulan tersebut dalam menawarkan pengalaman jenama yang konsisten untuk pelanggan di seluruh dunia.

“Misi Maybank untuk memanfaatkan perkhidmatan kewangan telah menjadi teras kejayaan kami hari ini. Ia membolehkan kami membina rangkaian juara iaitu para pekerja yang penuh bersemangat dalam mencipta keseronokan jenama kepada pelanggan.

“Kami akan terus memastikan kami kekal re­levan kepada pelanggan dan menggembirakan mereka dalam semua titik interaksi, sama ada di kaunter hadapan atau platform digital,” katanya.

Maybank merekodkan Indeks Kekuatan Jenama (BSI) 82 daripada 100 mata tahun ini, menjadi pemacu utama yang menyumbang kepada penilaian dan menentukan kekuatan jenama itu.

Maybank telah berjaya me­ngekalkan BSI itu setaraf dengan purata 10 syarikat terbaik di pe­ringkat global, serta mendahului 10 syarikat terbaik ASEAN dan Asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN