PUTRAJAYA 15 Julai – Kementerian Pendidikan menegaskan sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan bersifat komprehensif dan holistik dengan tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjelaskan, pihaknya perlu mengambil kira kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafannya yang mungkin menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.
Katanya, pandangan daripada pelbagai pihak adalah amat penting dan interaksi kementerian bersama pihak berkenaan tetap menjadi keutamaan beliau.
“Berkenaan isu UEC, saya ingin tekankan di sini bahawa seperti mana yang telah saya sebut sebelum ini, Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan sijil ini.
“Pengiktirafan UEC adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan dan sebelum diiktiraf, perlu diambil kira isu kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafannya yang mungkin menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Maszlee memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan membuat pusingan U atau dilihat flip-flop berhubung pengiktirafan UEC.
Kenyataan itu telah menyebabkan pelbagai pihak antara tokoh bahasa seperti tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan membantah rancangan tersebut kerana dilihat sebagai keputusan terburu-buru.
Malah, pelbagai menyifatkan langkah itu memberi isyarat tidak baik kepada rakyat yang setia mengikuti sistem persekolahan aliran utama negara.










