TANPA ada desas-desus, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini mengumumkan satu keputusan menggemparkan apabila mengisytiharkan keluar daripada parti UMNO, sehari selepas pemilihan parti diadakan di seluruh negara.
Keputusan yang dibuatnya itu sudah pasti bukan sahaja mengejutkan semua ahli dan pemimpin UMNO malah turut membuatkan penduduk di Parlimen Masjid Tanah kecewa kerana undi yang diberikan kepada wakil rakyat mereka atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu seolah-olah telah dikhianati.
Masjid Tanah merupakan kawasan kubu kuat UMNO di Melaka apabila semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dikuasai oleh BN di sebalik kekalahan teruk parti itu kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Selaku bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO juga, Mas Ermieyati mempunyai ‘nama’ yang agak kuat di kawasan itu, apatah lagi beliau dianggap oleh penduduk sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sering turun padang meski pun sibuk dengan jawatan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, beliau mengadakan majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan kepada penduduk kurang berkemampuan di rumah ibunya di Kampung Paya Lebar, namun tiada tanda-tanda yang Mas Ermieyati akan bertindak keluar daripada parti walaupun ketika itu BN sedang berduka lara akibat kekalahan besar dalam PRU-14.
Cuma satu yang terserlah pada diri insan bernama Mas Ermieyati iaitu beliau begitu rapat dengan penduduk Masjid Tanah dan hal ini dapat dilihat menerusi reaksi penduduk yang begitu gembira dengan sikap mesra rakyat ditunjukkan oleh beliau.
Seperti yang disebut dalam kenyataannya keluar daripada UMNO hari ini untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas, Mas Ermieyati seolah-olah kecewa kerana pemilihan UMNO semalam menggambarkan kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak UMNO.
Sebagai pemimpin yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam sayap parti, sikap itu tidak sepatutnya ditunjukkan oleh Mas Ermieyati walaupun beliau kecewa dengan keputusan pemilihan parti.
Meski pun tidak bertanding dalam jawatan tertinggi dalam UMNO, Mas Ermieyati sepatutnya menjadi contoh bekas pemimpin seperti yang pernah dilakukan oleh bekas ketua pergerakan Puteri seperti Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang kesemuanya pernah memegang jawatan tertinggi sayap itu.
Tindakan keluar parti dengan memberikan alasan kecewa dengan pemilihan semalam, di saat UMNO sedang tenat, bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik walaupun beliau mempunyai sebab peribadi untuk berbuat demikian.
Ini kerana ramai yang akan menganggap Mas Ermieyati seolah-olah mengkhianati parti kerana bertanding dalam PRU atas tiket BN tetapi tidak melepaskan jawatan yang dipegang sebagai wakil rakyat.
Pengalaman dan kepemimpqn Mas Ermieyati sebenarnya masih diperlukan oleh UMNO untuk membantu memperkuatkan parti kembali bangkit tetapi keputusan diambil iaitu keluar parti seperti menunjukkan seolah-olah beliau telah mengaku kalah lebih awal ketika persiapan untuk berperang iaitu memperkukuhkan UMNO baru sahaja bermula. – UTUSAN ONLINE











