PERKATAAN manifesto sekali lagi menjadi perhatian selepas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu bukan kitab suci.
Sebelum ini, istilah manifesto turut menjadi tumpuan pada 2012 apabila bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengutarakan bahawa manifesto bukan janji selepas beberapa pihak mendesak beliau menunaikan manifesto selepas parti yang diwakilinya memenangi pilihan raya.
Apakah manifesto? Benarkah manifesto bukan janji? Benarkan manifesto bukan kitab suci? Jika manifesto tidak suci dan bukan janji kenapa ia diangkat begitu tinggi sehingga lapisan langit ketujuh kepada rakyat oleh parti-parti politik ketika pilihan raya berlangsung?
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka manifésto merupakan pengumuman tentang dasar iaitu polisi dan tujuan sesuatu parti politik.
Sementara kamus Merriam Webster pula memberi definisi manifesto sebagai kenyataan bertulis yang diumumkan kepada khalayak berkaitan keinginan, motif dan pandangan pihak yang mengutarakannya.
Perkataan manifesto berakar dari bahasa Itali yang meminjam dari perkataan Latin manifestum yang bermaksud jelas atau mudah dilihat.
Perkataan manifesto pertama kali direkodkan secara bertulis pada tahun 1620 dalam terjemahan oleh Nathaniel Brent mengenai Sejarah Paolo Sarpi berkaitan Majlis Trent, ‘Untuk petikan ini dia membuat jawapan melalui manifesto’.
Adalah jelas makna dan definisi yang diberikan oleh kedua-dua kamus DBP dan Merriam Webster tidak langsung merujuk manifesto sebagai satu bentuk janji atau perjanjian.
Manifesto hanyalah sebuah perisytiharan, pengumuman dan pernyataan.
Seindah manapun sesebuah manifesto ditulis, dikarang dan dihebahkan oleh sesebuah parti politik atau ahli politik, apa yang jelas ialah ia tidak langsung mempunyai apa-apa kaitan dengan sebarang janji yang wajib dilunaskan.
Justeru tidaklah salah sekiranya ada mana-mana pihak menengaskan manifesto bukanlah kitab suci jauh sekali merupakan janji sama ada kepada pengundi mahupun rakyat dan tidaklah wajib pula untuk ditunaikan.
Hakikatnya pada 13 Mei 2013 Mahkamah Rayuan Putrajaya turut menolak saman sivil berhubung tuntutan manifesto pilihan raya.
Saman berkenaan difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada golongan mereka seperti terkandung dalam manifesto parti politik yang menang pada Pilihan Raya Umum 2008.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.
Hishamudin bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam A. Vishnu Kumar, yang mewakili kerajaan Selangor dan Khalid, bahawa manifesto bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.
Bagaimanapun dalam Buku Harapan yang diedarkan oleh Pakatan Harapan kepada pengundi pada 9 Mei lalu jelas terpampang perkataan yang digunakan adalah ’10 janji 100 hari”.
Kini berbaki kira-kira 30 hari dua daripada 10 janji tersebut telah dilaksanakan.
Mungkinkah dengan wujudnya perkataan ‘janji’ dalam risalah yang diedarkan semasa pilihan raya itu maka pengundi mempunyai hak untuk meminta pihak berkenaan menunaikan kesemua janji yang dibuat?
Dan bagaimana pula untuk menggelak manifesto hanya menjadi cebisan kertas indah yang dihargai ketika pilihan raya dan dilupakan selepas mencapai kemenangan? -UTUSAN ONLINE









