Malaysian Tigress tepati ramalan - Utusan Malaysia

Malaysian Tigress tepati ramalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD hoki wanita negara bergaya menjuarai pusingan awal kelayakan Sukan Olimpik 2020 iaitu Siri Hoki Terbuka Dunia de­ngan membelasah Thailand 6-0 pada aksi final di Stadium Hoki Seng Kang, Singapura semalam.

Kemenangan besar itu sudah dijangka tetapi paling mencuri tumpuan ialah kejayaan Kirandeep Kaur Gurdip Singh yang akan genap usia 15 tahun pada 22 Julai ini, meledak gol pertamanya pada peringkat senior.

Pemilihan Kirandeep dalam barisan 18 terbaik Malaysian Tigress ke kejohanan tersebut menjadi bualan peminat-peminat hoki tanah air kerana ia adalah kejohanan senior yang pertama buat pemain dari Bangsar, Kuala Lumpur itu.

Ternyata, keputusan ke­tua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang tidak teragak-agak menyenaraikan nama Kirandeep berdasarkan ba­kat serta fizikal dimilikinya menuai hasil lumayan.

Selain Kirandeep yang ber­aksi dalam semua perlawanan, bintang dalam pembikinan yang baru berusia 18 tahun, Nur Amirah Syakirah Zulkifli turut mempamerkan kecemerlangan, sekali gus memberikan satu petanda positif buat masa depan skuad negara.

Amirah berjaya meledak satu gol dalam aksi final semalam, sekali gus mengutip koleksi jaringan ketujuh dan bergelar penjaring ketiga terbanyak kejohanan.

Selain dua pemain tersebut, Dhaarma juga memberikan kepercayaan kepada seorang lagi penyerang berusia 17 tahun, Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad dan dibalas dengan baik menerusi dua jaringan sepanjang kejohanan itu.

Baki empat lagi gol Malaysian Tigress pada final tersebut diperoleh menerusi dua jaringan Fatin Shafika Mahd. Sukri serta masing-masing satu daripada Surizan Awang Noh dan penjaring terba­nyak dan pemain terbaik kejohanan, Nuraini Abdul Rashid.

Malaysian Tigress, No. 22 dunia, akan menghadapi pusi­ngan kelayakan Sukan ­Olimpik 2020 yang seterusnya iaitu Siri Hoki Dunia Final dijadualkan berlangsung di tiga venue pada Mei tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN