LIVERPOOL 20 Julai – Alisson mengakui, perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Liverpool, April lalu antara faktor yang mempengaruhi keputusannya untuk menyertai Reds.
Pemain berusia 25 tahun itu hari ini melengkapkan kontrak enam tahun bernilai 66.8 juta pound (RM354.40 juta), sekali gus menjadikannya penjaga gol termahal di dunia.
“Ia (separuh akhir pertama Liga Juara-Juara) perlawanan yang menegangkan dalam karier saya tetapi dalam masa sama menyeronokkan. Saya fikir, faktor Anfield turut menyumbang kepada kecemerlangan Liverpool.
“Betul, ia sebahagian daripada faktor yang mempengaruhi keputusan saya. Apabila anda membuat keputusan penting seperti ini, ia bukan sekadar tentang menukar kelab, sebaliknya seluruh hidup anda, keluarga, isteri serta anak saya.
“Perlawanan itu mempengaruhi saya tetapi saya juga menonton beberapa aksi melibatkan Liverpool. Melihat cara (Jurgen) Klopp memimpin pasukan dan ia membuatkan saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini,” katanya.
Liverpool membenam Roma 5-2 dalam separuh akhir pertama pada 25 April, sebelum kalah 2-4 di Rom (3 Mei). Mereka mara secara agregat 7-6.
Alisson yang hanya membenarkan gawangnya dibolosi dua kali daripada lima perlawanan Piala Dunia bersama Brazil mendedahkan, rakan senegaranya, Roberto Firmino turut mempengaruhi keputusannya untuk menyertai Reds.
“Apabila tawaran rasmi diterima, saya tanya pandangannya (Firmino) dan dia hanya bercakap tentang perkara baik mengenai kelab serta bandar Liverpool.
“Dia beritahu saya, kalau saya datang ke sini, saya pasti akan menjadi orang paling gembira.
“Selain hubungan kami ketika bersama skuad kebangsaan, saya amat gembira dapat bergabung dengannya dalam kelab yang sama,” katanya.
Alisson turut mendedahkan mengenai mesej yang dihantar bintang Reds yang juga bekas rakan sepasukannya di Roma, Mohamed Salah sebelum melengkapkan perpindahan.
“Saya tidak banyak berhubung dengan Mo (Salah) selepas dia meninggalkan Roma, kami berjumpa sekali lagi pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Namun semalam, dia menghantar mesej kepada saya beritahu: ‘Hei, apa lagi yang kamu tunggu?’. Ketika itu rundingan berada di fasa akhir, dan saya beritahu dia ‘Bertenang, saya dalam perjalanan’”, katanya. – AGENSI










