Majikan, pengusaha kedai makan di Perlis diingatkan mencarum sebelum Ogos - Utusan Malaysia

Majikan, pengusaha kedai makan di Perlis diingatkan mencarum sebelum Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis mengingatkan para majikan khususnya pengusaha kedai makan di negeri ini supaya mencarum pekerja mereka dengan pertubuhan itu dengan kadar segera sebelum Op Kesan dilaksanakan bagi mengesan mereka pada Ogos ini.

Pengarahnya, Mohd. Asri Mohd. Rasid berkata, peringatan sama itu turut diberikan kepada kira-kira 50 buah syarikat persendirian baharu yang sehingga kini dikesan masih belum berbuat demikian.

Kata beliau, maklumat berhubung bilangan syarikat itu diterima Perkeso daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pada masa ini (Julai), kita masih membuat program pemutihan dengan memberi nasihat dan peringatan kepada para majikan yang didapati gagal mencarum pekerja mereka dengan Perkeso.

“Kita menyasarkan pengusaha kedai makan kerana mendapati ramai yang mengambil mudah (tidak mencarum) disebabkan menganggap mereka beroperasi pada waktu malam dan Perkeso tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Penyampaian Cek Faedah Perkeso oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Azam Karap dan Majlis Rumah Terbuka di pejabat pertubuhan itu di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai lima penerima menerima cek faedah Perkeso bernilai antara RM775 sehingga RM21,202.

Mohd. Asri seterusnya berkata, pada tahun lalu, pihaknya mengesan ramai pengusaha kedai makan di Kuala Perlis gagal mencarum dengan Perkeso dan sehubungan itu telah diambil tindakan dengan dikenakan kompaun sehingga maksimum RM2,000 untuk setiap pertuduhan.

“Sepanjang enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 20 kes melibatkan majikan yang telah dihadapkan ke mahkamah kerana gagal mencarum.

“Kita berharap ramai majikan di negeri ini yang akan tampil secara sukarela pada masa depan demi kebaikan pekerja mereka,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN