Mahkamah tidak harus diganggu dengan ulasan umum - Pakar perundangan - Utusan Malaysia

Mahkamah tidak harus diganggu dengan ulasan umum – Pakar perundangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Julai – Orang ramai perlu membiarkan mahkamah serta pihak yang terlibat dalam sesebuah kes untuk menjalankan perbicaraan dengan aman dan lancar tanpa sebarang gangguan atau persepsi negatif akibat ulasan umum.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, Malaysia tidak mengamalkan sistem perbicaraan oleh mahkamah pendapat umum, selain menekankan prinsip antarabangsa iaitu ‘seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah’.

Malah katanya, prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah juga dianggap sebagai hak asasi manusia seperti termaktub di bawah Artikel 11 Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Prinsip ini penting bagi melindungi pihak yang dituduh daripada dipandang serong oleh masyarakat, sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri tertuduh dan keluarganya.

“Katanya, hanya mahkamah yang diperakukan kewujudannya dalam sistem undang–undang dan Perlembagaan Persekutuan layak untuk membicarakan serta memberikan sebarang keputusan terhadap sesuatu kes pendakwaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd., namun beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pasukan pembela bekas Perdana Menteri itu pada masa sama berjaya mendapatkan perintah larangan sementara bagi menghalang media daripada menerbitkan perbincangan umum berhubung kes berkenaan dan hal ini bagaimanapun dipersoalkan kumpulan peguam Lawyers for Liberty.

Sementara itu, kata Muzaffar Syah, bagi membuktikan kes melibatkan jenayah, piawaian atau tahap pembuktian adalah lebih tinggi berbanding kes sivil iaitu pembuktian di luar keraguan munasabah, kerana implikasi kesalahan jenayah terhadap diri individu yang terlibat adalah lebih serius berbanding kesalahan sivil.

Dengan itu katanya, sebelum sesuatu kes jenayah itu dibicarakan sepenuhnya dan sebelum keputusan muktamad oleh mahkamah, semua pihak jangan mengeluarkan keputusan mereka sendiri sehingga memberi sebarang label terhadap pihak yang dituduh.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN