DUNGUN – Dua termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbunuh selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 334.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi, Syed Namirun Putra Syed Khairul Hissham, 11, dan kawan bapanya, Mohamad Nor Mohammad, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Bapa Syed Namirun Putra iaitu Syed Khairul Hissham Md. Akhir, 45, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan pula mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anak sulung Syed Khairul Hissham iaitu Syarifah Filzatun Athirah, 20, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dari Felda Karatong, Bandar Tun Razak, Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Nor hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali.
“Impak daripada kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta, Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter,” kata beliau di sini semalam.









