PELABUHAN KLANG 12 Julai – Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menstruktur semula pinjamannya bernilai RM3.8 bilion yang dibuat bagi membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa ini, LPK perlu membayar ansuran pinjaman itu sebanyak RM222 juta setahun dan pendapatannya diunjurkan sebanyak RM266 juta pada tahun ini.
“Ini bermakna LPK mengalami defisit tunai hampir RM43 juta setahun selepas mengambil kira kos pentadbiran sebanyak RM80 juta dan perbelanjaan modal sebanyak RM6 juta.
“Keadaan ini menyebabkan LPK terpaksa menggunakan rizab tunai mereka setiap tahun untuk menampung defisit tersebut.
“LPK kini sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menstruktur semula hutang tersebut supaya bayaran balik dapat dikurangkan sedikit untuk mengelak rizab tunai LPK berkurangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar dan Pengurus Besar LPK, K. Subramaniam. PKFZ adalah anak syarikat LPK.
Mengenai PKFZ, Anthony Loke berkata, LPK perlu menjana lebih banyak pendapatan melalui PKFZ.
Katanya, pada masa ini, LPK hanya menjana kira-kira RM80 juta setahun melalui sewa lot industri kepada syarikat swasta.
Beliau berkata, kementerian turut mencadangkan golongan profesional sebagai Pengerusi baharu PKFZ.
“Beliau (bakal pengerusi) seorang akauntan dan bukan ahli politik. Pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya pihaknya juga tidak akan melantik ahli politik dalam Lembaga Pengarah PKFZ untuk memastikan hala tuju dan prestasi PKFZ dapat ditingkatkan kerana ia penting untuk menjana pendapatan LPK supaya ia dapat membayar balik pinjamannya. – BERNAMA











