HULU LANGAT – Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 mampu menyumbang kepada pertambahan bekalan air sebanyak 1,130 juta liter sehari kepada penduduk Lembah Klang.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, fasa pertama projek LRA Langat 2 yang dijangka siap November ini akan membekalkan air berjumlah 325 juta liter sehari sekaligus meningkatkan rizab bekalan air di Selangor.
“Bekalan air mentah dari Pahang sebanyak 325 juta liter itu akan menambahkan rizab bekalan air kepada tujuh peratus di Selangor. Ketika ini kita hanya mempunyai simpanan rizab sekitar tiga peratus saja dan itu tidak mencukupi.
“Apabila siap sepenuhnya pada 2022, pertambahan bekalan kepada 1,130 juta liter sehari mencukupi untuk penduduk di Lembah Klang sehingga tahun 2025 sekali gus menyelesaikan krisis bekalan air.
“Berdasarkan statistik pada tahun 2014, penduduk di Selangor memerlukan 4,907 juta liter air sehari sedangkan kapasiti pengeluaran hanyalah 4,431 juta liter sehari menerusi 34 LRA di seluruh negeri,” katanya pada sidang akhbar sebelum lawatan ke tapak pembinaan LRA Langat 2 di sini tengah hari tadi. – K! ONLINE











