Lelaki libas pisau dalam bas, 9 cedera - Utusan Malaysia

Lelaki libas pisau dalam bas, 9 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN – Seramai sembilan orang cedera diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di dalam sebuah bas di utara Jerman, kata beberapa pegawai, namun motif sera­ngan belum jelas.

Bas yang sarat membawa penum­pang itu menuju ke Travemuende, sebuah pantai popular dekat bandar Luebeck kelmarin apabila lelaki itu mengacukan pisau terhadap penumpang, kata ketua pendakwa raya Luebeck, Ulla Hingst.

Menteri Dalam Negeri Schleswig-Holstein, Hans-Joachim Grote memberitahu agensi berita DPA bahawa enam orang cedera akibat ditikam, manakala tiga lagi mangsa me­ngalami kecederaan lain.

“Nasib baik tiada mangsa terbunuh. Latar belakang serangan dan bagaimana ia berlaku masih belum jelas dan menjadi sebahagian daripada objektif siasatan kami,” kata Hingst.

Menurutnya, pemandu bas segera memberhentikan kende­raannya untuk membolehkan penumpang melarikan diri.

“Penumpang-penumpang melompat keluar sambil menjerit. Ia sungguh menakutkan. Kemudian, barulah mereka yang cedera dibawa keluar. Penyerang bersenjatakan pisau dapur,” kata seorang saksi yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, Lothar H kepada akhbar tempatan, Luebecker.

Hingst berkata, penyerang ialah seorang lelaki warga Jerman berketurunan Iran berusia 34 tahun.

“Kami tidak ada petunjuk sama ada dia menjadi radikal,” katanya sambil menambah, suspek mendiamkan diri dan dihadapkan ke mahkamah semalam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN