ALOR SETAR 19 Julai – Seorang lelaki mati lemas selepas terjun ke dalam sungai di Kampung Hilir Kepala Batas, di sini ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah yang dipercayai sarang penagih, semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kira-kira 10 penagih telah melarikan diri daripada serbuan AADK Kubang Pasu dan tiga individu telah terjun ke sungai berdekatan dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang.
“Dua lelaki yang terjun ke dalam sungai berjaya dipujuk untuk menyerah diri manakala seorang lagi enggan dan cuba berenang namun gagal sebelum tengelam.
“Sehubungan itu, satu operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan dengan disertai pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan AADK,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui pada kira-kira pukul 9.44 pagi tadi di tebing sungai berhampiran kawasan dia tenggelam.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Firdaus Daud memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 6.31 petang semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan dengan memberi tumpuan pencarian secara permukaan menggunakan ‘grappling iron’ dan menjumpai mangsa dilokasi dipercayai lemas selepas hampir 15 jam gagal dikesan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










