Lelaki amuk lepas tembakan guna senapang patah - Utusan Malaysia

Lelaki amuk lepas tembakan guna senapang patah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKAH 15 Julai – Seorang lelaki mengamuk hingga melepaskan tembakan menggunakan senapang patah diberkas polis di Rumah Panjang Tuai Rumah Kassim, Selangau malam tadi.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada salah seorang penghuni rumah panjang tersebut mengenai suspek yang mengamuk dan memecahkan cermin di situ.

Menurutnya, pasukan polis kemudian digerakkan dan dapat menahan suspek berusia 48 tahun itu tanpa insiden tidak diingini berlaku.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai mengamuk dise­babkan tidak tahan dengan bunyi bising remaja bermain bola di rumah panjang yang didiaminya.

“Suspek telah melepaskan tembakan ke arah dinding dan memecahkan tingkap ruai rumah menggunakan senapang patah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Jimmy, pasukan polis turut merampas selaras senapang patah, enam butir peluru, dua kelongsong peluru, empat serpihan kelongsong peluru, lesen memiliki senjata, serpihan kaca dan pakaian suspek.

“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 19 Julai nanti. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN