PUTRAJAYA 30 Julai – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik hari ini melancarkan Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Penerbitan Laporan Tahunan 2017 adalah untuk memaklumkan kepada umum mengenai perkembangan pelaksanaan inisiatif pendidikan yang telah dirancang pada tahun tersebut.
Beliau dalam ucapannya berkata, PPPM selari dengan matlamat empat pembangunan lestari yang dirangka oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
“Ia dilihat untuk memastikan pendidikan berkualiti yang saksama dan inklusif serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran itu di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan telah menerbitkan Laporan Tahunan pada setiap tahun sejak pelaksanaan PPPM pada 2013. Kini pelaksanaan PPPM berada di gelombang 2 (2016-2020) untuk memacu peningkatan sistem pendidikan bertitik tolak daripada kejayaan yang telah dicapai dalam gelombang 1. -UTUSAN ONLINE.










