KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Pendidikan disaran melanjutkan tempoh pelaksanaan pemakaian kasut hitam di sekolah.
![]() |
|
ZAMBRI MOHD. ISA
|
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, langkah itu bagi memastikan ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan tidak terbeban dengan peraturan baharu tersebut.
“GPMS menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan yang mengutamakan keceriaan pelajar dan memudahkan ibu bapa kerana kasut hitam tidak mudah kelihatan kotor.
“Bagaimanapun pihak kami berharap agar dapat dilanjutkan tempoh pelaksanaannya kerana ada sesetengah ibu bapa yang telah membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
![]() |
|
HARRY TAN HUAT HOCK
|
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Harry Tan Huat Hock berharap Kementerian Pendidikan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat membantu golongan pelajar kurang berkemampuan dari segi penyediaan kasut tersebut.
“Usaha kementerian ini dilihat sebagai langkah yang baik kerana kasut putih mudah kotor terutama ketika mengambil bahagian dalam subjek Pendidikan Jasmani ataupun semasa menghadiri aktiviti kokurikulum.
“Bagi pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, kami yakin pihak kementerian, NUTP dan PIBG mempunyai pelbagai cara untuk membantu mereka,” katanya.













