MADINAH 18 Julai – Unit Terminal Madinah mengambil beberapa langkah untuk mempercepatkan proses jemaah memasuki kota suci ini dengan mengurangkan pergerakan mereka di terminal kepada setengah jam berbanding sehingga tiga jam sebelum ini.
Pengurus Operasi Madinah, Mohd. Razali Zakaria berkata, tempoh paling singkat setakat ini bagi proses itu yang dicatatkan hasil program prapelepasan jemaah haji Malaysia yang diperkenalkan oleh Arab Saudi tahun ini adalah 45 minit.
Menurut beliau, kali ini bagasi jemaah tidak lagi diangkut dengan bas sama dinaiki mereka, sebaliknya dibawa dengan lori berasingan terus ke bilik hotel penginapan masing-masing.
“Apabila jemaah sampai di lapangan terbang dan melalui terminal khas disediakan pihak berkuasa Arab Saudi, mereka akan terus menaiki bas yang menunggu ke hotel penginapan.
“Bagasi pula diuruskan di terminal lain oleh syarikat yang dilantik Tabung Haji. Ini memudahkan pergerakan jemaah ke hotel. Jika bagasi diangkut dengan bas sama dinaiki jemaah akan ambil masa untuk dipunggah,” katanya di sini.
Setakat pukul 5 pagi ini lapan penerbangan sudah memasuki Madinah melibatkan kira-kira 5,000 jemaah.
Penerbangan KT01 hingga KT20 akan memasuki Madinah terlebih dahulu dan jemaah akan berada di sini dalam tempoh enam hingga lapan hari sebelum memasuki Mekah.
Mohd. Razali memberitahu, langkah Arab Saudi memperkenalkan sistem pelekat khas bagasi bermula tahun ini memudahkan proses pengagihan bagasi dilakukan dengan cepat dan tepat kepada pemiliknya.
“Paling cepat urusan bagasi dilakukan adalah dalam tempoh satu setengah hingga dua jam,” katanya.
Menurut beliau, unit tersebut turut mendapat laporan dari Kuala Lumpur mengenai jemaah yang uzur dan kerusi roda serta doktor sudah sedia menunggu mereka di terminal untuk pemeriksaan.
Menurut beliau, cabaran yang dihadapi unit itu adalah apabila penerbangan haji dari negara lain mula memasuki Madinah.
Namun, beliau yakin tempoh yang sama dapat dikekalkan berikutan jemaah Malaysia melalui terminal khas yang disediakan. – utusan










