WASHINGTON 30 Jun – Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) percaya Korea Utara meningkatkan pengeluaran uranium untuk membangunkan senjata nuklear di beberapa lokasi rahsia dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Pyongyang didakwa mungkin menyembunyikan perkara tersebut ketika berlangsung sidang kemuncak antara Presiden AS, Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun lalu.
Perkara itu didedahkan oleh stesen penyiaran NBC yang memetik sumber daripada lima pegawai kerajaan AS dan laporan berhubung program senjata nuklear Korea Utara.
Berdasarkan laporan tersebut, agensi perisikan negara ini menyimpulkan bahawa Korea Utara sebenarnya mempunyai lebih daripada satu tapak nuklear rahsia selain mempunyai kemudahan pusat penghasilan uranium di Yongbyon.
“Ini merupakan bukti jelas menunjukkan Korea Utara cuba menipu dengan AS,” lapor NBC yang memetik seorang daripada lima pegawai kerajaan negara ini.
Agensi Perisikan Pusat (CIA) setakat ini enggan mengulas berhubung laporan NBC dan Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan dan tidak boleh memberikan komen tentang perkara berkaitan perisikan.
White House juga tidak memberi sebarang reaksi berhubung laporan berkenaan.
Laporan NBC itu secara tidak langsung menimbulkan lebih banyak persoalan tentang kesediaan Korea Utara untuk mengadakan rundingan serius bagi menamatkan program senjata nuklear yang dilihat boleh mengancam keselamatan AS.
Seorang pegawai kanan perisikan AS berkata. keputusan yang dibuat Pyongyang sebelum ini untuk menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea adalah tidak dijangkakan tetapi kesediaan kedua-dua pihak untuk berunding dilihat sebagai langkah positif.
Bagaimanapun, beliau menambah:”Apa yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk menipu kita tentang bilangan kemudahan yang ada, bilangan senjata, peluru berpandu…Kami memerhatinya dengan teliti.”– REUTERS











