Kor Ming pamer sikap profesional - Utusan Malaysia

Kor Ming pamer sikap profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Dikenali sebagai antara pemimpin yang bermulut ‘celopar’ namun Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) setakat ini berjaya menjalankan amanah sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan profesional.

AHLI Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming
AHLI Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming

Malah Kor Ming berjaya mengendalikan sesi persidangan dengan baik, jauh lebih baik berbanding Yang Dipertua Dewan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof serta seorang lagi Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Paling mendapat perhatian apabila Kor Ming berjaya mengawal kekecohan ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Kekecohan disebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta Ahmad Zahid menarik balik perkataan ‘munafik’ yang disifatkan beliau sebagai biadab serta tidak menghormati Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kor Ming dengan penuh profesional meminta semua ahli Parlimen senyap dan bertenang serta memberi peluang kepada Ahmad Zahid menjelaskan maksud munafik itu.

Tindakan profesional tersebut mendapat tepukan dan sorakan daripada para wartawan di bilik media yang sudah ‘bosan’ melihat perbalahan ditimbulkan.

Mungkin pengalaman Kor Ming sebagai ahli Parlimen selama dua penggal sebelum ini banyak membantu urusan mengendalikan sidang Dewan Rakyat.

Penampilan Kor Ming yang bersongkok juga mencuri perhatian sehingga mendapat pujian wakil rakyat pembangkang.

Kor Ming sebelum ini dikenali sebagai salah seorang pemimpin DAP yang bermulut celupar, lebih-lebih lagi apabila satu klip video yang menunjukkannya mempersenda Dr. Mahathir ketika kempen menjadi tular dalam media sosial.

Beliau juga dinamakan sebagai salah seorang bakal menteri pada kempen pilihan raya umum, tetapi malangnya tidak dilantik, sebaliknya dipilih mengisi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN