PUTRAJAYA 5 Julai – Kementerian Kewangan telah mengeluarkan notis penggantungan kerja dan perkhidmatan terhadap semua kontrak berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, arahan itu melibatkan dua anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) iaitu Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER) serta kontraktor-kontraktor terlibat.
“Perdana Menteri, selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui MKD untuk mengeluarkan ‘Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan’ ke atas kesemua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018.
“Notis penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
“Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Guan Eng memberitahu, Projek ECRL yang telah diberi mandat kepada MRL merupakan projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan dengan China Communications Construction Company (CCCC) yang telah dilantik sebagai kontraktor utama.
Katanya, projek itu mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 serta 2017 dan kos keseluruhan projek tersebut telah mencecah RM81 bilion termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.











