Kompleks Pasar Bisik perlu dinaik taraf - Utusan Malaysia

Kompleks Pasar Bisik perlu dinaik taraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 19 Julai – Nelayan di Kompleks Pasar Bisik di Kuala Sungai Muda di sini menaruh harapan agar kawasan itu segera dinaik taraf terutama untuk memperbesarkan kawasan meletakkan bot mereka yang uzur dan sempit.

Seorang nelayan, Md. Saad Said, 60, dari Kampung Masjid Kuala Sungai Muda berkata, keadaan tempat parking bot nelayan ketika ini amat menyedihkan dan sudah sampai masanya ia dinaik taraf.

“Sekarang ada tebing tanah mulai runtuh berikutan masalah air pasang ekoran ombak kuat. Lagipun, perkara seumpama ini perlu diberi perhatian serius dan ada ramai nelayan didapati balik dari laut dalam keadaan serentak antara pukul 11 hingga 12 tengah hari, sesetengah daripada mereka tidak boleh masuk di kawasan parking yang sempit untuk jual ikan hasil tangkapan sehingga pukul 3 petang.

“Sejak dua hari lepas, ramai nelayan tempatan turun ke laut dan berjaya menangkap ikan kembong antara 16 hingga 18 ekor sekilogram,” katanya di sini hari ini.

Seorang pemborong ikan, Said Mohd Marzuki, 45, dari Kampung Tepi Sungai berkata, usa­ha menaik taraf kompleks itu bukan sahaja mampu memberi kemudahan kepada nelayan malah menarik pengunjung termasuk pelancong.

“Bila kompleks pasar bisik ikan di sini dinaik taraf, bilangan pelancong dari negeri-negeri lain untuk melawat ke tempat ini, pasti bertambah ramai kerana banyak kemudahan asas, terma­suk tandas awam yang lebih sesuai dapat disediakan.

“Pendapatan nelayan di sini pasti bertambah meningkat ke­rana mereka dapat menjual pelbagai produk yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu menurut Pe­ngurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Muda, Mohamad Fahamy Mohamad Shagaff, usaha menaik taraf kompleks itu merupakan salah satu rancangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Saya begitu gembira sekali kerana Pengarah Bahagian Struktur Pembangunan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lokman Ahmad sendiri sanggup turun padang membuat tinjauan khusus mengenainya di kompleks berkenaan.

“Saya juga ada menerangkan beberapa kemudahan asas yang perlu dibaiki dalam usaha menaik taraf kompleks pasar bisik ikan di sini.

“Jika projek itu dilaksanakan, ia bakal memberi pelbagai kebaikan kepada hampir 500 orang pemilik bot nelayan di sekitar Kuala Sungai Muda,” katanya.

Menurutnya, salah satu projek yang perlu dilaksanakan segera ialah pembinaan tempat letak bot yang lebih luas bagi kemudahan nelayan sendiri untuk meletak bot masing-masing sebaik sahaja balik dari laut menangkap ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN