PUTRAJAYA 27 Julai – Peletakan jawatan pengarah urusan dan Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan membolehkan kerajaan menstruktur semula syarikat dana nasional tersebut.
![]() |
|
|
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri mempunyai hak untuk melantik ahli lembaga baharu atau memindahkan pengurusan lama ke syarikat lain atau mengekalkan sesetengah daripadanya untuk kesinambungan perjalanan syarikat.
Jelas kenyataan itu, kerajaan bukan di dalam proses membalas dendam.
“Kita tidak menganggap semua terlibat di dalam salah laku, tetapi pentadbiran ini tidak boleh menerima kesalahan yang jelas dan dibiarkan berterusan,” jelas kenyataan itu, di sini hari ini.
Semalam, Khazanah mengesahkan kesemua ahli lembaga, termasuk Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar menawarkan peletakan jawatan mereka.
Selain Azman, ahli lembaga pengarah lain Khazanah ialah Datuk Seri Nazir Razak; Tan Sri Md. Nor Md Yusof; Tan Sri Mohamed Azman Yahya; Datuk Mohammed Azlan Hashim; Tan Sri Andrew Sheng Len Tao; Tan Sri Raja Arshad Raja Uda; Datuk Nirmala Menon, dan Yeo Kar Peng.
Mengenai laporan RM2 bilion telah terhapus dari Bursa Malaysia, menurut kenyataan itu jumlah kerugian atas kertas itu tidak sebesar bebanan hutang RM1 trillion yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan sekarang.
“Jumlah hutang RM1 trillion itu adalah nyata dan benar. Jumlah yang perlu dibayar tidak boleh dielakkan.
“Sebahagian besar daripada jumlah `pelaburan’ yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu belum dapat diperolehi semula kerana kita tidak tahu di mana wang tersebut telah pergi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











