Keunikan pokok durian 120 tahun - Utusan Malaysia

Keunikan pokok durian 120 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR 19 Julai – Setiap kali tibanya musim durian bermula bulan ini sehingga Ogos depan, Kaki Bukit sentiasa menjadi tumpuan orang ramai yang ingin mendapatkan raja buah tersebut.

Kaki Bukit merupakan lokasi pekan kecil yang menjadi tumpuan para peraih dan pembeli dari dalam serta luar negeri ini bagi mendapatkan durian yang turut digelar sebagai lubuk buah berkenaan.

Apa yang lebih istimewa, pekan ini terdapat seorang peniaga yang menjual buah durian kampung asli dari pokok berusia 120 tahun yang ditanam oleh moyangnya di kawasan tersebut.

Peniaga tersebut, Tham Ngui Long atau lebih mesra dipanggil Along, 37, berkata, pokok berusia 120 tahun yang tingginya kira-kira 25 meter itu mampu menghasilkan lebih 1,000 biji durian setiap musim.

Katanya, durian yang dijual itu mendapat permintaan tinggi malah kawasan ini dikenali sebagai pengeluar buah durian yang terbaik dari segi rasa dan kualitinya.

“Di dusun sekitar kawasan ini, sekurang-kurangnya terdapat lebih 10 batang pokok durian yang berusia ratusan tahun dengan setiap pokok mampu menghasilkan 500 sehingga 1,000 biji durian setiap musim.

“Setiap hari saya mampu menjual sama ada kepada orang ramai atau pemborong sekitar dua tan buah durian. Harga yang dijual pula sangat berpatutan kira-kira RM10 sehingga RM16 bagi setiap satu kilogram,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Along, rasa durian kampung asli ini berbeza daripada buah durian kahwin, musang king dan pelbagai jenis durian lain kerana mempunyai keistimewaan dan kelazatan tersendiri.

“Pelanggan saya bukan sahaja terdiri daripada penduduk negeri ini, malah turut menjadi perhatian daripada pembeli di seluruh negara khususnya di sekitar negeri-negeri utara ini.

“Kebanyakan pokok durian ini ditanam oleh penduduk asal di sini dan dijaga dengan baik sehingga hari ini. Ketika ini durian semakin banyak luruh dan jumlahnya dijangka semakin banyak dalam tempoh terdekat,” katanya.

Orang ramai yang ingin mencuba durian daripada pokok berusia ratusan tahun itu, bolehlah mengunjungi gerai Along yang terletak di pekan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN