KUALA LUMPUR 18 Julai – Kerana taksub dengan perjuangan Daesh dan teruja menjadi ketua sel wanita pertama kumpulan pengganas itu di negara ini, seorang wanita sanggup membahayakan nyawa untuk cuba melakukan serangan terhadap orang bukan Islam dan rumah ibadat mereka.
Lebih mengejutkan, wanita berusia 51 tahun yang berasal dari Selangor dan mempunyai dua anak lelaki itu turut merekrut individu lain termasuk wanita melalui Facebook dan WhatsApp dengan menggunakan nama ‘Kumpulan Makan-Makan Kak Nor’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Perkara itu dilihat membimbangkan kerana di negara jiran kumpulan pengganas Daesh telah mula menggunakan golongan wanita serta kanak-kanak untuk aktiviti keganasan termasuk pengebom bunuh diri seperti yang berlaku di Surabaya, Indonesia pada Mei lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati kegiatan suspek yang ditahan pada 9 Mei lalu kerana ingin melancarkan serangan dengan melanggar pengundi bukan Islam menggunakan kereta di pusat mengundi di Puchong, Selangor tidak diketahui suaminya yang menghidap strok.
Menurutnya, tangkapan suspek telah membawa kepada penahanan dua lagi lelaki yang berperanan sebagai orang kanan wanita berkenaan di Johor, dua hari lalu.
“Kita lihat trend ini akibat pengaruh taktik Daesh di luar negara seperti Indonesia yang menyasarkan golongan wanita. Sebelum ini mereka hanya menyalurkan dana atau menyokong suami yang terlibat dengan Daesh.
“Jadi, pemantauan dan langkah pencegahan dilakukan secara berterusan bagi memastikan trend ini tidak berkembang di negara ini. Sejak 2012, sebanyak 43 wanita ditahan kerana terbabit pengganas Daesh di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Topcom 2018 di Universiti Teknologi Mara Kampus Selayang di sini hari ini.
Dalam majlis itu, beliau antara individu yang menerima anugerah Jasamu Dikenang anjuran Kementerian Kesihatan.
Pada 1 Jun lalu, akhbar melaporkan suri rumah terbabit ditahan bersama 14 anggota Daesh dalam beberapa operasi di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan, Johor dan Selangor selain dipercayai cuba melancarkan serangan di pusat mengundi serta menyerang rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta dimuatkan dengan tong gas sebagai bahan letupan.
Sementara itu, Ayob Khan turut mengesahkan pemimpin kumpulan pengganas Daesh warga Indonesia, Bahrum Naim yang dilaporkan maut dalam serangan dron di Syria adalah dalang kepada beberapa siri rancangan serangan yang berjaya dipatahkan di negara ini.
Lelaki berusia 34 tahun itu adalah dalang kepada usaha merekrut anggota kumpulan dikenali sebagai ‘Malhama Qubra’ secara dalam talian serta perancang beberapa rancangan serangan ke atas rumah ibadat dan tempat hiburan di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sekitar 2015 serta rancangan serangan roket ke Marina Bay Sands di Singapura.
Bahrum juga adalah rakan baik kepada ketua militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi merupakan pakar komputer, mengajar rekrut kumpulan berkenaan mengenai cara menghasilkan bom berdasarkan manual yang dimuat naik menerusi aplikasi Telegram.










