MADINAH 15 Julai – Masalah rangkaian telekomunikasi serta talian yang kurang baik terutama semasa masyair haji sebelum ini akan dapat diatasi kali ini menerusi penambahbaikan yang dilakukan oleh Tabung Haji dengan kerjasama pengendali sistem berkenaan.
Menurut Pengarah Operasi Teknologi Maklumat Tabung Haji, Hanizam Hanif, selain STC sebagai pembekal utama talian, tahun ini Tabung Haji juga bekerjasama dengan Mobily dan Zain bagi memastikan perkhidmatan disediakan adalah lancar.
Bagaimanapun, beliau menasihati bakal jemaah untuk memberi tumpuan terhadap ibadah dan tidak terlalu fokus terhadap penggunaan internet terutama media sosial sehingga melalaikan tujuan asal mereka ke tanah suci.
“Perkara-perkara sampingan seperti akses kepada media sosial, nak kemaskini Facebook dan sebagainya, tolak tepilah.
“Fokus kepada ibadah sebab kita hanya ada beberapa hari sahaja untuk melakukan ibadah haji,” katanya di sini.
Menurutnya, seramai 18 orang petugas yang merupakan pakar teknologi maklumat akan memastikan rangkaian internet terutama menjelang hari wukuf berada pada tahap yang baik.
Menurutnya, dua petugas ditempatkan di Madinah dan seorang di Jedah manakala selebihnya di Mekah.
Katanya, ini bagi memastikan capaian akses kepada sistem jemaah adalah lancar tanpa gangguan.
“Jika bergantung kepada satu rangkaian talian sahaja akan memberi risiko kepada Tabung Haji sendiri. Ini kerana satu-satu talian hanya baik di kawasan tertentu,” katanya.
Beliau memberitahu, selain talian ADSL yang digunakan di bangunan-bangunan operasi Tabung Haji, tahun ini kemudahan itu telah dinaik taraf kepada pemakaian gentian optik dan pemancar gelombang.
Jelasnya, pasukan teknikal Tabung Haji telah menguji aplikasi utama operasi haji bermula Mei lepas dan tiba di Arab Saudi sejak 2 Julai lalu untuk memasang sistem berkenaan di kesemua pejabat agensi berkenaan dan hotel-hotel penginapan jemaah di Mekah dan Madinah.
Menurut beliau, capaian akses tanpa gangguan terutama semasa masyair haji amat penting untuk kegunaan bilik operasi di Arafah dan Mina bagi memantau pergerakan jemaah dan bas serta sistem perubatan dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, Pembimbing Ibadat Haji, Ustaz Ramli Ibrahim turut meminta jemaah supaya fokus kepada ibadat haji masing-masing kerana ia merupakan pelengkap kepada Rukun Islam.
“Perkara ini melalaikan dan boleh menghalang fokus jemaah daripada mendapat haji mabrur.
“Penggunaan media sosial secara berlebihan boleh mencacatkan ibadah haji. Oleh itu lakukannya sebaik mungkin. Tumpukan kepada ibadat. Jangan hanya suka tengok gajet,” katanya.










