KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang guru lelaki direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes cabul murid perempuan darjah empat di sebuah sekolah di Ampang dekat sini, Mei lalu.
Perintah reman sehingga 25 Julai ini dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Ampang, Roslan Md. Nor terhadap lelaki berusia 53 tahun tersebut.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, ibu kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun telah membuat laporan polis pada Jun lalu tentang kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh anaknya.
Sementara itu, kejadian tersebut juga tular di laman media sosial Facebook dengan menyatakan mangsa dikatakan telah diajak oleh guru tersebut ke dalam sebuah bilik di sekolah itu dengan alasan membantu merekodkan markah.
Namun, ketika di dalam bilik itu, guru tersebut menarik tangan mangsa secara kasar dan memaksanya duduk di atas pahanya serta memegang paha, dada dan kemaluan murid perempuan itu.
Ketika kejadian, terdapat tiga murid lain yang berada di dalam bilik itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan dan difahamkan beberapa murid lain di sekolah terbabit telah tampil dan memberitahu mereka turut menjadi mangsa cabul kepada guru berkenaan. – UTUSAN ONLINE









