JOHOR BAHRU 30 Julai – Kertas memorandum projek Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar, di sini dan Woodlands Utara di Singapura akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.
![]() |
|
ANTHONY LOKE
|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan RTS dan dari segi prinsipnya Kabinet telah meluluskan projek berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu mengumumkan jumlah kos projek tersebut sebelum diluluskan Kabinet.
“RTS memang kerajaan Persekutuan telah komited teruskan dan kini di peringkat akhir untuk mendapatkan kelulusan Kabinet dan saya akan bawa kertas memorandum itu dalam masa terdekat.
“Jadi kelulusan Kabinet secara prinsipnya memang telah lulus dan komited untuk melaksanakan RTS tetapi dari segi kos kita perlu dapatkan kelulusan Kabinet,” katanya sebentar tadi.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat sistem ‘e-testing’ di Institut Memandu Berjaya, di sini.
Anthony berkata, perkara pertama yang akan dilakukan selepas mendapat kelulusan Kabinet adalah untuk menubuhkan sebuah syarikat kerjasama antara Malaysia dan Singapura bagi melancarkan pelaksanaan projek itu. – UTUSAN ONLINE.











