KOTA KINABALU 3 Julai – Perlantikan wakil rakyat Sabah dalam Kabinet adalah bukti jelas yang hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan negeri sangat kukuh.
![]() |
|
AZHAR Matusin
|
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Mathusin berkata, perkara itu sekali gus memberi pengiktirafan terbesar kepemimpinan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana meletakkan lima anak Sabah di dalam Kabinet.
“Ini sesuatu yang cukup membanggakan kerana jawatan yang diberikan antara jawatan utama dan mampu membawa perubahan kepada negeri Sabah secara amnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azhar berkata, perkara itu juga dilihat sebagai titik permulaan ke arah Malaysia baharu dan Sabah sejahtera menerusi kerjasama erat antara kedua-dua pihak.
“Sebagai salah satu rakan sekutu PH di Sabah, kami berbangga kerana mendapat tempat di dalam Kabinet Malaysia. Perkongsian kuasa yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri merupakan suatu yang perlu diberi perhatian demi kemajuan Sabah.
“Saya juga bersyukur kerana ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.
Tambahnya, menerusi komitmen itu, beliau yakin banyak peluang pekerjaan mampu diwujudkan di negeri ini selain menarik lebih banyak pelabur asing untuk melabur di negara ini.
“Sektor pelancongan juga akan mendapat kesan positifnya apabila kedatangan pelancong-pelancong asing ke negeri ini dapat ditingkatkan daripada yang sedia ada sekarang ini.
“Ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











