KUALA LUMPUR 20 Julai – Kerajaan menjamin akan melindungi sesiapa sahaja sekiranya mereka melaporkan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah terutama dalam urus tadbir kerajaan.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau menyedari beberapa pihak selama ini berasa takut akan diancam jika membuat laporan berhubung penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berlaku.
“Saya tahu ada yang takut untuk mendedahkan keburukan yang berlaku kerana tidak mahu diancam.
“Tetapi dalam kes ini, kami (kerajaan Pakatan Harapan) akan melindungi anda. Kita mahu sebuah kerajaan yang bersih,” katanya semasa berucap sebelum merasmikan Masyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-72 di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE










