KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah akan mengkaji semula Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 sebelum sebarang keputusan mewartakannya dilaksanakan.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya masih menunggu maklumat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai untung rugi pelaksanaan pelan tersebut.
“Banyak perkara yang perlu diteliti sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil. Kemungkinan ia akan dikaji atau diperbaharui semula.
“Hal ini kerana sebelum ini ada pembangunan yang dikenal pasti bercanggah dengan pelan pembangunan tersebut,” katanya pada sidang skhbar sempena lawatan rasmi pertamanya ke DBKL di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dilancar pada Mei 2008 dan dijadual untuk diwartakan pada 1 Julai 2012 namun ia ditangguh dan sehingga kini draf pelan tersebut belum diwartakan.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu rumah mampu milik jelas Khalid, isu tersebut perlu ditangani secara bersepadu dan bukan hanya anggap tugas tersebut digalas DKBL semata-mata.
“Pada perjumpaan hari ini kami tidak berbincang secara menyeluruh mengenai isu rumah mampu milik ini, namun isu ini perlu libatkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian lain,” jelasnya. – K! ONLINE









