Kematian Adam Rayqal akibat hentakan di kepala - Utusan Malaysia

Kematian Adam Rayqal akibat hentakan di kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Didera pengasuh atau terjatuh daripada tempat tinggi.

Itu antara kemungkinan punca kematian bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang kini sedang disiasat polis.

Ini berikutan laporan awal bedah siasat mendapati bayi itu maut akibat kesan hentakan objek tumpul di kepala.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Adam Rayqal dilaporkan dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya yang ber­usia 33 tahun dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang semalam menyebabkan ibu-bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd, Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan kepada pihak polis dan wanita itu akhir­nya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.

Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam tadi, mayat mang­sa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaian­nya.

Luluh hati ibu bapa mangsa apabila mengetahui perbuatan kejam yang dilakukan terhadap satu-satunya anak mereka yang baru seminggu dihantar untuk dijaga oleh suspek.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik HKL hari ini, pihaknya mene­mukan kesan retak di bahagian kiri serta pendarahan dalaman di bahagian kanan kepala bayi terbabit.

Menurutnya, doktor forensik turut mengesahkan punca kematian bayi itu disebabkan kecede­raan di bahagian kepala mangsa.

“Berdasarkan kecederaan itu kita percaya ia mungkin disebabkan dipukul, dihempas atau ter­kena benda berat,” katanya kepada pemberita dalam program lawatan kerja Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Se­langor.

Mengulas lanjut, Fadzil memberitahu, bayi berkenaan baru dijaga selama tujuh hari oleh pe­ngasuh terbabit.

“Selain mangsa, terdapat dua lagi bayi lain yang turut dijaga oleh pengasuh berkenaan termasuk ketika hari kejadian tetapi kedua-duanya telah diambil oleh ibu ba­panya mereka pada petang semalam.

“Suspek sudah dua tahun menjadi pengasuh bayi dengan mengiklankan perkhidmatan di laman Facebook,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmat berkata, pihaknya akan melawat semula lokasi kejadian bagi memperoleh bukti-bukti baharu.

“Kita juga telah mendapat pe­rintah mahkamah untuk menahan reman selama seminggu suspek dan seorang rakan serumahnya berusia 36 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN