SAMARA – Jurulatih Brazil, Tite tampil mempertahankan bintang utamanya, Neymar sambil menyifatkan kemampuan pemain tersebut menggelecek dan membawa bola masuk ke kotak penalti lawan bukan sebagai satu ‘dosa’.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Samara itu, Neymar merupakan watak penting yang membawa Brazil ke suku akhir selepas menundukkan Mexico 2-0 kelmarin.
Menurut pengendali berusia 57 tahun itu, cara permainan yang ditampilkan oleh pemain termahal di dunia itu di atas padang merupakan satu strategi dan beliau sendiri yang mengarahkan pemain tersebut berbuat demikian.
Jelas Tite, ekoran kelincahan pemain Paris Saint-Germain (PSG), hampir keseluruhan jentera pertahanan Mexico kehilangan banyak tenaga, sekali gus memberi kelebihan kepada Brazil untuk melancarkan serangan bertali arus.
“Saya tidak fikir tindakan Neymar yang sering membuat larian solo sehingga ke kotak penalti Mexico sebagai satu ‘dosa’. Ini kerana saya yang mahu dia melakukan perkara tersebut.
“Jika kami menggunakan banyak pemain untuk melakukan perkara sama yang boleh Neymar lakukan seorang, saya rasa ia adalah perkara yang tidak cerdik. Kami mungkin boleh hilang fokus di atas padang,” ujar Tite.
Dalam pada itu, Tite turut memuji disiplin para pemain yang sentiasa mengikut arahannya.
“Pada perlawanan itu, saya tidak mahu para pemain berdepan pemain lawan secara individu, sebaliknya saya lebih gemar mereka menyasarkan zon-zon yang menjadi kekuatan Mexico.
“Hasilnya kami berjaya mara ke suku akhir tanpa sebarang bolos walaupun Mexico agak ghairah menyerang kubu Brazil,” katanya. – Agensi










