KUALA LUMPUR 14 Julai – Kejayaan kakitangan Utusan Malaysia memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2017 dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2018 semalam, mengangkat imej syarikat ke peringkat lebih tinggi.
Kartunis, Norkamaro Mohd. Noor yang memenangi kategori Kartun Editorial Terbaik serta membawa pulang hadiah RM10,000 berserta sijil dan trofi berkata, kejayaan tersebut bukan miliknya seorang, sebaliknya perlu diraikan bersama rakan-rakan serta syarikat.
“Kejayaan ini adalah kejayaan Utusan Malaysia. Untuk menjadi kartunis yang baik seseorang perlu banyak membaca dan berfikir,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Selain Norkamaro, turut membawa pulang hadiah ialah jurugambar, Irwan Majid dan Hafiz Johari, masing-masing dalam kategori Kewartawanan Foto Cemerlang dan Foto Esei Cemerlang, manakala Ketua Meja Sains dan Teknologi Utusan Malaysia, Laupa Junus memenangi kategori Penulisan Rencana Cemerlang.
Sementara itu Hafiz berkata, pengorbanan meninggalkan keluarga hampir sebulan demi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan penduduk Islam Rohingya di Myanmar dibayar dengan kejayaan yang dianggap sebagai luar biasa.
“Keunikan pada gambar saya mungkin kerana isu Rohingya bersifat global dan menyentuh hati sesiapa melihatnya. Saya bersyukur penantian selama 13 tahun berakhir dengan kenangan manis,” katanya.
Dalam pada itu, Irwan tidak menyangka keputusan meninggalkan sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas ternampak kepulan asap dari sebuah kawasan perumahan berdekatan membolehkan dia merakam gambar seorang nelayan terjun ke muara sungai selepas rumahnya terbakar.
“Kebetulan pada masa itu kamera saya berada dalam keadaan baik dan gambar berkenaan hanya dirakam oleh saya seorang sahaja dan tidak rakan-rakan lain. Sebelum ini saya pernah memenangi anugerah di Kelantan dan Sabah, namun anugerah MPI adalah yang terbesar,” katanya.
Bagi Laupa pula, kejayaan tersebut merupakan motivasi kerjaya sebagai wartawan dan diharapkan menjadi inspirasi kepada wartawan muda.
“Kejayaan ini bukan sahaja besar maknanya kepada saya, malah kepada Utusan. Ia adalah hasil kerja keras, komitmen dan kualiti yang diusahakan selama ini. Semoga ia menjadi inspirasi kepada staf Utusan terutama generasi wartawan baharu,” katanya.











