Kebakaran hutan Greece 
dilakukan secara sengaja - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan Greece 
dilakukan secara sengaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS 27 Julai – Pihak berkuasa memaklumkan telah menerima maklumat penting yang menunjukkan kebakaran besar hutan sehingga meragut nyawa seramai 82 orang pada Isnin lalu telah dilakukan secara sengaja.

Timbalan Menteri Perlindungan Rakyat, Nikos Toskas berkata, pihaknya menerima maklumat yang membolehkan siasatan dijalankan tentang kemungkinan wujud ‘tindakan jenayah’ yang menyebabkan kebakaran di Mati, timur Athens.

Jelasnya, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada satu lagi kebakaran yang berlaku beberapa jam sebelum itu dekat Kineta, barat Athens, juga dilakukan secara sengaja.

Dalam kejadian di Kine­ta, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kami mempunyai bukti tetapi buat masa ini saya tidak boleh bercakap lebih lanjut,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri jurucakap kerajaan, Dimitris Tzanakopoulos serta ketua-ketua polis dan bomba.

Namun, Toskas menekankan faktor cuaca panas melampau ekoran perubahan iklim turut mendorong kebakaran.

Sebelum ini para pegawai yang memperoleh maklumat daripada peta-peta satelit memberitahu, sebanyak 13 kebakaran berlaku serentak pada Isnin lalu di seluruh Attica termasuk Athens.

Dalam pada itu, ketika penduduk sedang berusaha mengenal pasti mayat ahli keluarga masing-ma­sing, kemarahan semakin memuncak terhadap pihak berkuasa kerana membiarkan insiden itu berlaku.

Tzanakopoulos memberi alasan penduduk Mati sukar dipindahkan kerana insiden berlaku dalam tempoh sejam setengah.

Tambah beliau, faktor angin kencang yang mencecah 120 kilometer sejam adalah yang terkuat pernah direkodkan dalam tempoh lapan tahun.

Mangsa ke-82 diisytiharkan meninggal dunia semalam oleh seorang jurucakap bomba tanpa memberi penjelasan lanjut sama ada ditemukan petugas penyelamat atau me­ninggal dunia di hospital.

Sementara itu, hujan le­bat yang ‘ditunggu-tunggu’ untuk meredakan kebakaran telah menyebabkan banjir kilat dan merosakkan berpuluh-puluh kereta dan motosikal, namun tiada kemalangan jiwa berlaku. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN