Kebajikan pelajar mangsa kebakaran dititikberatkan - Utusan Malaysia

Kebajikan pelajar mangsa kebakaran dititikberatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah sedang mengkaji keperluan menyediakan pengangkutan bagi memudahkan para pelajar yang juga mangsa kejadian kebakaran di Kampung Cenderamata 2 Likas meneruskan sesi persekolahan.

Menterinya, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat pelajar gagal menghadirkan diri ke sekolah berikutan masalah pengangkutan dari penempatan sementara ke sekolah masing-masing.

Menurut beliau, kementerian memandang berat terhadap keperluan para pelajar meneruskan pengajian terutama dalam kalangan mangsa yang akan menduduki peperiksaan.

“Akibat kejadian kebakaran terbabit pelajaran mereka sudah tentu terganggu maka hari ini kami datang untuk melihat keadaan kerana bertanggungjawab perihal pendidikan pelajaran anak-anak ini.

“Justeru, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk menyediakan pelbagai bantuan seperti kenderaan supaya semua mangsa berpeluang hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan terhadap 105 pelajar di Dewan Kampung Likas di sini hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri, Jenifer Lasimbang dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Sementara itu, Maimunah ketika ditemui berkata, setiap pelajar yang terjejas akibat kejadian kebakaran pada Selasa lalu, dijangka menerima bantuan tambahan daripada sekolah masing-masing.

Katanya, setiap sekolah telah melakukan inisiatif untuk menyerahkan bantuan seperti kelengkapan persekolahan untuk meringankan beban kesemua mangsa.

Dalam pada itu, seramai 105 pelajar terjejas akibat kejadian kebakaran baru-baru ini dengan Sekolah Kebangsaan Likas di sini mencatatkan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 62 pelajar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN