PUTRAJAYA 9 Julai – Keadaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin yang rebah ketika Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri kini dalam keadaan stabil.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau kini berada di hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Beliau sekarang OK dan kini berada di hospital,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Beliau mengulas perkembangan Mohamed Hanipa yang rebah ketika Dr. Mahathir menyampaikan amanat sewaktu Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE










