KBS tidak mahu ‘syok sendiri’ - Utusan Malaysia

KBS tidak mahu ‘syok sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi sebaik memulakan tugas rasminya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya semalam.

Sebaliknya, Syed Saddiq berkata, beliau lebih cenderung untuk bekerja sebagai satu keluarga dan pasukan bersama-sama para pegawai kanan serta warga kerja KBS bagi memacu kementerian itu ke peringkat lebih dinamik.

“Saya tidak mahu letak sasaran ‘syok sendiri’ tanpa berbincang dengan penjawat-penjawat awam dan para pekerja di sini (KBS).

“Saya tahu mereka telah be­kerja di KBS berpuluh-puluh tahun, mereka cukup berpengalaman. Jadi, saya mahu berbincang dengan mereka terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu KBS ‘syok sendiri’ dan meletakkan sasaran peribadi tanpa mengambil kira pandangan timbalan menteri (Steven Sim Chee Keong) dan semua kakitangan di sini,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus tiba di lobi Menara KBS kira-kira pukul 8.45 pagi sebelum mengetip kad kehadiran tepat pukul 8.50 pagi.

Turut hadir Steven dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau tidak mahu membawa budaya witch hunt iaitu mencari kesilapan pentadbiran di KBS sebelum ini.

Bagaimanapun beliau memberitahu, jika terdapat salah laku dalam pentadbiran berkenaan, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Berbanding mencari kesilapan lepas, saya mahu memberi fokus kepada perkara yang boleh ditawarkan demi kepen­tingan rakyat.

“Saya tidak mahu diwarnakan atau dicorakkan sebagai budaya balas dendam yang mana untuk menyerlahkan diri saya, saya menjatuhkan atau memburukkan imej kerajaan lepas dengan kesilapan yang sedia ada.

“Sebaliknya saya mahu fokus kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat dan pastikan jika ada kesilapan yang lepas, ia tidak diulangi.

“Sebab fokus anak muda kini, kalau kita hanya bentangkan kesilapan lepas, mereka akan tanya what we can afford (apa yang kita mampu lakukan)?” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan beberapa program dan dasar ketika KBS diterajui mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Muar itu juga memberitahu, segala program baik yang pernah dirangka dan dilaksanakan oleh Khairy akan diteruskan oleh kepimpinan baharunya.

“YB (Yang Berhormat) Khairy telah meninggalkan legasi yang baik dalam mentransformasikan KBS sebelum ini. Maka ingin saya tekankan, program yang membawa kebaikan kepada rakyat dan industri sukan negara akan diteruskan seperti Hari Sukan Negara, Hari Belia Negara, Fit Malaysia dan Perdana Fellows.

“Buat masa ini, saya mahu menunggu laporan penuh ber­kenaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kos program-program sebelum ia boleh ditambah baik pada masa hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN