KUALA LUMPUR 19 Julai – KETUA jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menggesa agar undian semula acara bola sepak lelaki Sukan Asia 2018 dilakukan segera memandangkan temasya tinggal kurang sebulan untuk membuka tirai.
Pada 5 Julai lalu, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (INASGOC) terlepas pandang penyertaan Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Perkara itu menjejaskan persiapan semua pasukan, dan apa yang membimbangkan Kim Swee adalah jika anak-anak buahnya diiundi menentang China dan Arab Saudi dalam undian semula.
Pada undian lalu, Malaysia diletak dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain serta Republik Kyrgyz.
“Saya tidak kisah jika penganjur ingin melakukan undian, tiada masalah tetapi mereka kena lakukannya dengan secepat mungkin. Ini kerana setiap pasukan perlu melakukan persiapan dan apabila undian dibuat lewat ia akan merencatkan perancangan pasukan.
“Kita sudah mengatur persiapan pasukan dan akan mengadakan aksi persahabatan menentang B-23 China pada 2 Ogos dan B-23 Arab Saudi (9 Ogos) dan ini akan mengganggu persiapan.
“Macam mana kalau kita satu kumpulan dengan mereka (China dan Arab Saudi)?
“Lagi satu, venue pertandingan pula masih menjadi tanda tanya kerana saya masih belum tahu di mana kita akan beraksi sama ada Bandung, Jakarta atau tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Undian semula sepatutnya berlangsung esok namun ditunda ke satu tarikh yang bakal dimaklumkan.










